Sejarah Piawaian Pengelasan Pendidikan Antarabangsa

Kerangka ISCED mula dibangunkan pada awal tahun 1970-an yang berfungsi sebagai satu instrumen bagi mengumpulkan, menyusun dan mempersembahkan statistik pendidikan di peringkat sesebuah negara dan global. Versi pertama, dikenali sebagai ISCED 1976[2] telah diluluskan semasa Persidangan Antarabangsa Mengenai Pendidikan di Geneva pada tahun 1975, dan mula diterima pakai semasa Persidangan Antarabangsa UNESCO ke-19 pada tahun 1976.

Versi kedua, dikenali sebagai ISCED 1997[2], diluluskan semasa Persidangan Antarabangsa UNESCO ke-29 pada bulan November 1997 sebagai usaha untuk meningkatkan elemen perbandingan dalam statistik berkaitan pendidikan secara global[3]. Kerangka ini meliputi dua pembolehubah pengelasan rentas utama; tahap dan bidang pendidikan.

Versi terkini, dikenali sebagai ISCED 2011, mula diterima pakai semasa Persidangan Antarabangsa UNESCO ke-36 pada bulan November 2011. Versi ini mengemaskini definisi bagi setiap tahap pendidikan, termasuklah penambahan program pendidikan awal kanak-kanak dengan kod ISCED 0 yang diletakkan sebelum ISCED 1 (Pendidikan rendah). Selain itu, bahagian pendidikan tinggi kini dipecahkan kepada empat tahap.